Friday, December 27, 2013

Kurang Kos, Bukan Naik Harga : Dr M

Shah Alam - Tun Dr Mahathir Mohamad MENGKRITIK KERAJAAN ekoran kenaikan tarif elektrik pada kadar 15 peratus yang menurutnya, agak tinggi.

Beliau berkata, tarif elektrik tidak seharusnya dinaikkan secara mendadak kerana ia akan membebankan pengguna.

"Ini akan memberi bebanan kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri," katanya dalam satu entri blognya, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata tarif elektrik jika perlu dinaikkan, boleh dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian pengeluaran menanggung kerugian besar.

"Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat tidak mendapat keuntungan besar," katanya.

Dalam pada itu, kata Dr. Mahathir, pembaziran mampu dielakkan sekiranya kerajaan serius bertindak dan mengambil iktibar daripada Laporan Katua Audit Negara mengenai ketirisan.

"Kerajaan ada kalanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam sebarang bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya," kata beliau.

Selain itu, katanya, pendapatan negara boleh ditingkatkan melalui pengurangan kos pengeluaran berbanding menggunakan pendekatan menaikkan harga.

"Konsep 'cost down' merupakan salah satu alternatif terbaik bagi mengelakkan pembaziran sekali gus mampu menjana pendapatan. Ada masanya harga boleh dinaikkan. Ini mungkin mengakibatkan kemerosotan jualan dan keuntungan. Lebih baik mengurangkan kos atau sama ada mengekalkan atau meminimumkan kenaikan harga," katanya.

Jelas Dr. Mahathir, perkara sama boleh dilakukan kerajaan.

"Semua kos boleh diteliti untuk menentukan mana yang benar-benar penting, kos mana yang boleh dikurangkan, atau perkhidmatan mana yang boleh diolah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara namun pada masa yang sama menyifatkan bebanan tersebut tidak harus digalas oleh rakyat sepenuhnya.

2 Disember lalu, kerajaan mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuat kuasa Januari tahun depan.

Pada 2014, kerajaan dijangka akan menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini.

Tambang pengangkutan awam LRT dan monorel juga dijangka dinaikkan.

Tuesday, December 24, 2013

Tafsiran Seksi

Pernah suatu ketika akhbar heboh menyiarkan kisah seorang artis yang dikecam peminatnya kerana menayangkan perutnya kepada khalayak ramai sehingga mencetuskan kontroversi. Kisahnya berpunca daripada artis tersebut yang berpakaian serba lengkap cumanya ia mendedahkan bahagian perutnya untuk menayangkan lukisan berbentuk seperti pokok yang dilukis di tengah perutnya. Jadi tindakannya itu mencetuskan pelbagai persepsi peminat sehingga ada yang mengatakan tindakannya itu bersifat seksi.

Persoalan yang timbul adalah, apa tafsiran seksi pada pemikiran mereka? Sedangkan jika kita lihat trend artis-artis sekarang yang menjalani sesi penggambaran dan gambar mereka ditayangkan BPop, Kosmo, Metro mahupun akhbar-akhbar lain dalam keadaan مشأ الله تباركالله! Pakaian mereka yang sendat dan singkat menayangkan susuk tubuh mereka dari segenap inci menjadi tatapan seluruh rakyat Malaysia. Timbul persoalan, kenapa mereka-mereka itu tidak pula dikecam peminat? Adakah kerana mereka dengan berani dan terang-terangan menayangkan tubuh mereka itu mendatangkan suatu pemikiran "Alahhh takpelah, ini fesyen sekarang, baguslah mereka ikut trend terkini" atau sebagainya??

Yang menayangkan perut tadi dikira baik la sikit (walaupun tetap sama juga hukumnya, mendedahkan aurat). Tetapi itu yang dinaikkan dalam berita sehingga mencetuskan kontroversi, Namun tidak pula di"highlight"kan artis-artis yang terang-terangan menayangkan aset-aset yang ada pada badan mereka. Di mana tahap pengetahuan agama masyarakat madani ini? Bila difikirkan semula, benarlah bahawasanya masyarakat sekarang sedang sakit, jiwa agama mereka sedang tenat diarus pemodenan yang menghakis nilai keagamaan dalam diri. Apabila simptom "takpelah" "ini fesyen terkini" "belum sampai seru" dan banyak lagi melanda rata-rata masyarakat sekarang, maka dilihat usaha untuk menerapkan kembali nilai fitrah agama itu semakin hari semakin sukar. Wallahualam.. Semoga niat dan usaha yang kecil dan berterusan ini mampu menjentik para hati yang sedang sakit. Semoga usaha ini juga menjadi peringatan kepada diri supaya sentiasa bersedia dengan mehnah dan tribulasi mendatang.

Ya Allah.. keluarkanlah aku daripada kejahilan agama..  الَّلهم امين..

Monday, December 23, 2013

Mathurat Sughra atau Segera?

Manusia akhir zaman ni suka kepada perkara-perkara yg ringkas dan mudah. Tetapi mereka menginginkan ganjaran yg setimpal dengan amalan yg dilakukan oleh golongan asabiqul awwalin yg terdahulu melakukan amalan mereka.Contohnya bacaan mathurat. Rata-rata ahli jemaah, tidak kiralah jemaah apa sekalipun lebih suka meringkaskan bacaan mereka sehinggalah munculnya istilah "mathurat segera" yang sepatutnya dibaca dengan 3 kali tetapi dibaca hanya dengan sekali bacaan sahaja. Mathurat kubra jauh sekalilah untuk dibaca.

Sebenarnya ada sebab kenapa As Syahid Imam Hassan Al Banna menetapkan bacaan itu mengikut kiraan ulangannya, kerana seorang mujadid yg agung akan mengambil berat walaupun sesuatu benda itu dilihat remeh temeh. Tetapi yang penting adalah nilai yg terdapat pada amalan tersebut yg akan mendatangkan ganjaran Allah Taala kembali kepada pelakunya.

Terdapat ayat yg mempunyai nilaian yang tinggi sehingga tidak dapat difikirkan oleh akal logik manusia yang terbatas. Sebagai contoh pada ayat :-

ياربي لك حمد كما ينبغي لجلال وجهك وعظيم سلطانك
"Wahai Tuhan, untuk-Mu pujian yang setanding dengan kebesaran serta kemuliaan wajah-Mu dan keagungan kekuasaan-Mu."

Fadhilat ayat ini amat besar yang dinukilkan melalui hadith Nabi saw:-
Daripada Abdullah ibn Umar r.a, Rasulullah saw bercerita: "Seorang hamba Allah swt membaca (bacaan di atas) maka terasa lemah dua malaikat dan tidak tahu bagaimana untuk mencatit ganjarannya, lalu malaikat terus mengadu kepada Allah swt, katanya : "Ya Allah! Seorang hamba Engkau membaca satu bacaan yang kami tidak tahu bagaimana untuk mencatit ganjarannya." Firman Allah swt :(Yang memang mengetahui) "Apa yang dibaca olehnya?" Maka jawab malaikat : "Ia membaca (bacaan di atas)". Firman Allah swt : "Tulislah sebagaimana yang dibaca oleh hamba-Ku itu sehingga ia menemui Aku dan Aku akan beri ganjarannya dengan bacaannya itu."
(H.R Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

Lihatlah betapa besarnya nilaian pada ayat-ayat yang terkandung dalam mathurat yang kita baca setiap pagi dan petang. Ini baru satu contoh sahaja, terdapat banyak lagi fadhilat-fadhilat yang terkandung seribu satu rahsia yang hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Jadi kenapa kita meringkaskannya?

Berjemaahlah!

Dalam Al - Quran Allah berfirman, "Berpegang teguhlah kamu dengan tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah." Ayat ini jika dilihat sepintas lalu menggambarkan kepada kita betapa Islam menyeru umatnya hidup dalam suatu komuniti yang besar dan ditegah sama sekali berpecah belah. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Jika dilihat dari satu sudut, kehidupan secara berjemaah memudahkan banyak perkara. Termasuklah dari segi pekerjaan, komunikasi, penyatuan pemikiran dan banyak lagi.

Janganlah jadi kera sumbang. Ayuh, berjemaahlah!