Monday, February 10, 2014

Perlunya Jama’ah

Untuk menjamin kita Iltizam dengan Islam sepenuhnya, kita perlulah bersama-sama jamaah. Jamaah yang benar-benar ingin melaksanakan Islam. Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Huzaifah yang bermaksud, “Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Ibn mas’ud menjelaskan tentang jamaah, katanya, “Hendaklah kamu berada di atas kebenaran walaupun kamu berada seorang diri.”

Rasulullah SAW memperingatkan kita dalam sabdanya, bermaksud:

“Seiapa yang keluar daripada garis Islam maka ganjillah ia di dalam neraka.”

Hadith ini membawa erti bahawa Islam itu bersama jamaah dan imam mereka. Tanpa jamaah tiadalah Islam yang syumul. Oleh itu kita ingin berada dalam kumpulan-kumpulan yang benar-benar mengambil ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Mughirah Bin Syu’bah pernah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sentiasa akan ada satu kelompok (thaifah) di kalangan umatku ini yang
sentiasa lahir membawa kebenaran sehingga datang perintah Allah SWT,
iaitu Hari Qiamat. Kumpulan ini akan ada bila-bila masa sehingga
Allah SWT memusnahkan alam ini.”

Kumpulan ini tetap ada. Kita perlu mencari untuk menyertainya. Apabila kita bersama-sama kumpulan ini, berulah kita dapat malaksanakan Islam secara syumul. Firman Allah SWT:

“Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka kitab, hikmah dan kenabian. Jika orang-orang (Quraisy) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum yang sesekali tidak mengingkarinya.”- Surah al-An’am: ayat 89

“Mereka itulah orang-orang yang telah diberi pertunjuk oleh Allah, maka ikutilah mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan da’wah ini. Al Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh alam.”
-Surah al-An’am: ayat 90

Akan kedapatan kumpulan yang ingin menyambung risalah Islam ini. Sekiranya da’wah ditolak di suatu tempat maka di tempat lain da’wah itu diterima. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik. Baginda ditolak di Makkah tetapi diterima di Madinah. Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa inilah jalan yang perlu dilalui. Kita akan menurutinya tanpa banyak soal dan bicara. Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Kita yakin dengan penuh terhadap baginda.

Jamaah yang menjaga, iltizam dan intizam dengan Islam itulah yang perlu kita berada di dalamnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Umat Nasrani akan berpecah kepada 71 puak, umat Yahudi akan berpecah kepada 72 puak dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang akan selamat.” Tanya para sahabat, “Puak yang manakah yang akan berjaya Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Kumpulan yang mana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.”

Hadith ini menjelaskan bahawa kumpulan yang berjaya ialah kumpulan yang benar-benar mengikut Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda. Kumpulan yang lain tidak akan berjaya. Kejayaan sebenarnya hanya ditentukan oleh Allah SWT. Manusia hanya berkewajipan berusaha dan Allah yang menentukan natijah.

Kita hanya berusaha dan bertawakkal

Generasi Al Qur’an pertama, iaitu para sahabat RA, ada antara mereka yang belum sempat melihat natijah Islam tetapi telah sanggup disiksa dan dibunuh. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan Islam dan mewujudkan masyarakat yang menepati kehendak Allah SWT. Mereka bersabar dalam melaksanakan tuntutan aqidah. Apabila keluarga Yasir telah disiksa maka Rasulullah SAW yang melalui tempat dia disiksa berkata, “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah Jannah.”

Yang paling baik bagi kita ialah terus berusaha, bekerja dan berkorban untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Islam. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita digolongkan di dalam Kafilah Da’wah atau Kafilah Mujahidin. Sekiranya kita tidak mahu melakukan kerja-kerja ini maka bermakna kita menolak kurniaan Allah SWT. Balasan yang baik hanyalah ketentuanNya. Kita perlu sentiasa berdo’a agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.