Friday, January 17, 2014

PRK Membentuk Kepimpinan Masa Depan

Pilihanraya Kampus tiba lagi, kali ini memperlihatkan penglibatan tokoh-tokoh pimpinan yang hebat-hebat belaka, baik di peringkat AMT dan juga AMM. Suatu corak perubahan iklim kepimpinan yang baik telah berlaku sejak kebelakangan ini.

Bila menyebut pilihanraya, ada yang beranggapan bahawa inilah masanya untuk menonjolkan diri, menjual populariti dan berkempen sesuka hati. Namun, di sebalik pilihanraya ini, tersingkap suatu matlamat jangka masa yang panjang di setiap diri calon yang bertanding.

Kepimpinan di zaman Mahasiswa melatih kepimpinan masa depan untuk mencorak suatu perubahan cara fikir yang selaras dengan perubahan zaman. Kita lihat betapa besar jurang perbezaan corak pemikiran pemimpin antara golongan tua dan muda. Golongan veteran lebih kepada cara lama dalam istilah "slow and steady". Kita lihat pula rentak golongan muda yang agresif, proaktif dan semangat. Jadi kedua-duanya perlu digabungkan supaya keseimbangan yang wujud tidak menghalang proses perubahan itu berlaku.

Pada zaman kampus inilah masa yang amat sesuai untuk mahasiswa melatih kepimpinan diri supaya dapat bersedia apabila berkhidmat dalam masyarakat kelak. Kepimpinan kampus hanya dikira berapa peratus sahaja kepayahan dan cabarannya berbanding alam realiti apabila duduk dalam masyarakat kelak. Maka amat penting bagi setiap mahasiswa itu melatih diri bermula di zaman kampus supaya tidak terkena kejutan budaya apabila mula berkhidmat di alam pekerjaan yang sebenar nanti.

Dalam diri setiap mahasiswa perlu ada perasaan dan niat untuk mengubah masyarakat ke arah yang lebih maju, sedar dan berdaya saing antara satu sama lain. Seiring dengan pemodenan dunia ini, corak pemikiran masyarakat juga perlu maju dan tidak ketinggalan. Kepada calon-calon yang sedia bertanding ataupun pernah menjadi perwakilan kampus, tahniah dan syabas diucapkan. Gunalah bakat dan kelebihan anda untuk menjadi agen perubahan masyarakat kelak.

Salam PRK.

No comments:

Post a Comment